TAMAN HATI

TAMAN HATI

Sahabat Jiwa

Rabu, 11 Mei 2016

tangis langit subuh
dingin menyentuh
kujur tubuh
menggigil

syukur pada Allah
rahmat menyinggah
usir kesah
insani

- HashOmar

>>>

Dia mendiam menongkat dagu
Denyut nadi sekeras gemuruh jiwa yang sendu
Menanti
Menanti
Dan menanti
Mengulur asmara yang sempat terbaca
Walau tak pernah ada kata
Setidaknya rasa pernah bersua
Analogi rindu disapu sebait luka

- IbnuAmar

>>>

Interaksi dalam komunikasi tadi
Ada respon yang baik
Ada lembaran baru tercatit
Komunikasi antara dua hati
Hati yang terluka tertikam dek kecewa
Mungkin sekali ini takdir tidak berteka-teki
Ya, mungkin

- IbnuAmar

>>>

selembar daun melayang jatuh ke atas telaga
berkocak kecil airnya
seperti setia.. tak sanggup mengoyak daun tertimpa

- IbnuAmar

>>>

Memang seperti itulah dakwah. Dakwah adalah cinta. Dan cinta akan meminta semuanya dari dirimu. Sampai fikiranmu. Sampai perhatianmu. Berjalan, duduk, dan tidurmu.. Bahkan di tengah lelapmu, isi mimpimu pun tentang dakwah. Tentang insan yang kau cintai…

- IbnuAmar

>>>

aku hanya sebaris
dari aksara itu
yang tidak pernan dimengertikan
sedang itu sebenarnya harapan
dan mereka pun
hanya berlalu begitu sahaja
tanpa sepatah sapa

#hashomar

>>>

aku masih ingin menulis
cerita seorang pengemis
di lantai lantai terhakis
tapi malang...tinta ku habis
sudah puas ku renjis
ia tak ingin menangis
tiada air mata menitis
mungkin telah muflis
atau telah benci mengais
erti yang amat rasis
seni ini hanya secebis
seni ini tak bisa habis
penuh dengan persis

lalu....
keinginan rasa
noktahkan segala
pada maya
jika benar jelik di jiwa
mereka yang menatapnya

#hashomar

>>>

Rentung

Tiba-tiba hatiku terbakar
memerhati pada wajah keluar
dirobek sebilah kenangan
... kehilangan

Haruskah aku membelanjakan
dengan mengelupur kesakitan
atau menjual sebilangan darah
hanya untuk menahan parah

Langsung pulang ke rumah
menembak dinding yang diratah
Adakah aku harus menunggu
masa-masa akan berlaku

Apakah akan aku ingat
dan menjerit kuat
Tuhan menerapkan kayu kebakaran
agar ia tahu hatiku kerentungan

Tidak! itu bukan aku
kerana hatiku menjadi debu
berterbangan melingkari sesuatu
yaitu adalah aku

- Dhamah

>>>

Antara sedar mahupun tidak, sebenarnya telah ditipu. Bukankah dalam Al-Quran ada memberitahu. “Dunia ini tidak lain hanya permainan dan senda gurau.” Jika engkau ingin bermain maka bermainlah. Kita lihat siapakah antara kita akan kecundang? Bagai pokok dilihat gah namun tiada buah. Sayang tapi ada gunanya sebagai tempat teduh. Tidakpun, kayunya boleh digunakan. Diambil satu, asyik - diambilnya lagi. Akhirnya musnah belantara.
Lapang. Namun tidak pernah memikirkan akan pembenihan semula. Mungkin ada terlintas di kepala. Disebabkan ‘siapa kita’ maka perkataan itu lenyap dan belantara terkapai-kapai mengerakkan akar. Perkataan ‘siapa kita’ menjadi sebuah persoalan untuk bergerak. Ya, ‘siapa kita’ untuk berkata. Bukankah kita adalah kalifah-kalifah yang diturunkan Allah?
Jika kita adalah kalifah mengapa harus kalah? Bukankah yang mengerakkan seharian adalah Allah. Maka, apakah ertinya sebuah kekalahan? Bukankah telah dikatakan dalam Al-Quran. “Dunia ini tidak lain hanya permainan dan senda gurau.” Andai ingin bermain terimalah akan kekalahan yang sementara. Kita bergurau hanya sahaja melihat - siapakah akan ketawa dalam permainan ini? Aku atau kau? Kita tidak tahu.

#Cerpen-Puisi Tentang Belantara
#Lingkaran Putus Dan Sambung
#Terus Menulis

- Dhamah

>>>

Hayati ini aku bentangkan satu cerita
Kisah manusia insan sejagat punya alkisah
Pelbagai ragam kerana hidup pura pura
Bagaikan tiada ketulusan kejarkan kemajuan...
Siapalah antara kita sanggup membela
Perbalahan penipuan atas kebenaran...
Memohon simpati tagih janji bukakan mata hati...
Pada wajah wajah seiringan haluan perjalanan ini...

sukarnya aku mengerti
Hidup penuh ranjau duri
Pilu rasa di hati
bilakah datang menjelma
Penawar kedamaian ini
Pasti ia muncul kembali
Walau ada saki baki yang kurang senang hati...
Harus diteruskan dengan semangat cekal di hati...
Usah disangsi jalan yang bakal engkau lalui...
Mungkin ada benarnya di sebalik kesilapan...

- FaridKrx

>>>

Pandangan mata selalu menipu
Pandangan akal selalu tersalah
Pandangan nafsu selalu melulu
Pandangan hati itu yang hakiki
Kalau hati itu bersih
Hati kalau terlalu bersih..,
Pandangannya kan menembusi hijab...
Hati jika sudah bersih
Firasatnya tepat kehendak Allah...
Tapi hati bila dikotori'..
Bisikannya bukan lagi kebenaran
Hati tempat jatuhnya pandangan Allah...
Jasad lahir tumpuan manusia...
Utamakanlah pandangan Allah...
Daripada pandangan manusia...

- FaridKrx

>>>

hentak azam pun meronta
relai rantai kejahilan
buru petualang bangsa
di kota group
rempuhkan segala
dengan debat waja di dada
perjuangan buat menebus warisan....

- FaridKrx

>>>

Sungguh
Sabarnya dia
Semalam dan hari ini
Sederhana dengan sapaan pagi

Namaku tak tersentuh
Pada pesanan ringkasnya
Dan aku melihat bersahaja
Alangkah indahnya
Sikap sabarnya

Sesungguhnya..
Menduga itu
Sungguh punya istimewa rasa

Uhmm❤
Yn..

>>>

Perang

Benar-benar dibuat rasa
memotong lingkaran kata
dengan penipuan berbau dosa
apakah ini satu perang nyata

Kau hunus mematikan bahasa
menggertak pada kata terkuak
agar mereka berputus asa
tidak, perjuangan itu tak luak

Apakah dengan menyentap
helaian yang memanggil hati
mereka akan terus senyap
tidak, perjuangan itu tak mati

Jangan melemparkan minyak
pada api baru sahaja reda
panasnya masih ingin menyalak
jika mengena hangit dada

- Dhamah

>>>

Jangan terbelit tika menyusun akar. Jauh mahupun dekat perlu sedar. Haluan lurus itu tersasar. Bukan kerana apa, kerana hanya menganggap ia lurus, padahal akar itu menjalar. Jika tidak bagaimana mendapatkan air?

Ingatlah, ini adalah belantara. Tiada yang lurus di dalamnya. Memungkinkan ada, tapi selurus manakah ia? Apakah hanya menganggapnya lurus tanpa tahu sebenarnya ia berselirat. Penuh dengan sesat. Hanya bagi mereka yang tidak pernah berdoa kepada Tuhan. Bagi mereka yang berdoa. Apakah jalan lurus itu sentiasa lurus? Apakah anda tidak bermain? Benar-benar bergurau.

#Tentang Belantara
#Dalam Lingkaran Putus Dan Sambung

- Dhamah

>>>

Biarkan aku terhempas
ataupun lemas
hanya kerana mengukir kata
kepadaMU kembalinya segala
izinkan aku mengolah bahasa
agar aku mengerti siapakah "ada"

- Dhamah

>>>

•"Apakah itu kebenaran?"
Kebenaran adalah sesuatu yang nyata ia tidak akan dapat disalahkan. Jika ia dapat disalahkan, bermakna ia bukanlah kebenaran. Ia nyata sehingga dapat dilihat oleh segalanya; seperti – mata, hati, akal, nafsu, mahupun sesuatu yang tidak mempunyai apa-apa kepada sesuatu itu. Kebenaran itu adalah penerimaan yang tidak sesekali dapat dinafikan mahu ditolak. Ia ibarat manusia itu sendiri, yang di mana ia tidak akan dapat menipu dirinya sendiri. Itulah kebenaran di mana ia merangkumi segalanya sehingga seseorang itu mencari ‘Adakah ini kebenaran?’ Menandakan seseorang itu mencari kebenaran dari kebenaran demi kebenaran. Kebenaran itu bukan untuk memenangkan diri sendiri ketika berhujah, tetapi ia berhujah untuk menegakkan kebenaran. Biarpun kebenaran itu tidak perlu dihujah kerana ia adalah kebenaran tidak akan disalahkan. Namun, ‘Siapa akan mengetahui, jika tidak dihujah?’ Kebenaran adalah perkataan di mana segalanya menerima itu adalah kebenaran. Maka, seseorang itu perlu berhujah untuk mengetahui ‘Adakah ia berada dilandasan kebenaran?’ Jika ia berdiam dan mengatakan ia berada dalam kebenaran. Itu bermakna ia hanya dibayangi kebenaran, ia tidak melihat kebenaran dengan nyata.

–Dhamah Syifflah-

>>>

namun hanya rindu
di pelukan ku
tanpa pernah
berakhir

- HashOmar

>>>

Mengalir

Menakung air
jangan sampai tumpah mengalir;
Ia penyebab bazir.

Dengar guruh berdentum
Jangan terus mengeluarkan baldi;
Ada masa ia tidak menjadi.

Tunggu ia menitis
biar basah memadamkan tulis;
Dari situ penghubung rapat
Mengenal dengan makrifat.

- Dhamah

>>>

Terbukalah Takyin (Tanwin An-In-Un)

1-
Dalam redup bicara insan
terselit perihal ilmu batin
berdirinya gagah tak ‘kan gerun

2-
Biar gadis membuat rayuan
menuju tuhan tak ‘kan dingin
jiwa disulam ilmu bertimbun
3-
Menyulam bahasa penuh kiasan
melimpahkan harap tiada yang lain
kepada Allah mengharapkan ampun

4-
Maha Suci Allah Penuh Keesaan
hamba mengharap terbukalah takyin
moga jiwa dan minda tidak berliun

- Dhamah

>>>

siang masih hujan
tubuh rasa dingin
hati turut meruntun

- HashOmar

>>>

mengenang kasih tak kesampaian
kerana diri hartanya miskin
sapa bersahut tiada santun

- HashOmar

>>>

Aku dititis kebasahan
mengasah akal licin
mencari kata ampun

- Dhamah

>>>

Kugubah puisi
Diantara detak jantungmu
Disela denyut nadi yang mengalun

Biarlah kita mengeja malam
Melambatkan hadirnya sang fajar
Meredupkan cahaya rembulan
Kerna..aku enggan berpisah denganmu
Biarpun masa kian dekat
Bayangmu akanku pelut erat
Walau hanya sedikit masa cuma

Terkasih..
Yang tertera
Bukan hanya aksara dihujung pena
Atau mimpi di ujung lena
Namun ia bahasa rindu
Yang mungkin akan wujud antara kau dan aku
Dari dan dikejauhan itu
Dan selaksa nukilanku untukmu
Maknanya nanti.. semua berhuruf rindu

Yn..

<<<

ILMU@20PP

Setiap warna coretan dan tulisan itu amat berharga
Walaupun hanya satu huruf sekalipun
Kerana satu perkataan itu
Adalah ilmu Allah

- TyaAiinina

>>>

kelam
suram hatinya hitam
terpalit rona kusam

samar
cemar jiwanya kasar
tersasar kuku mencakar

ungu
tumpah di kajang rindu
menadah doa dan restu

bersih
memilih antara terpilih
menguis nguis di balik sisih

damai
secangkir rasa dibelai
rahmatNya di tuai.....

#hashomar

>>>

Umur##

1/

Bertambah usia
semakin hampir
pada noktah
abadi

2/

Terus muhasabah
setiap detik
Lalu ingat
dan insaf

3/

Itulah hakikat
di kehidupan
amat fana
Dan terjal

Mega Ungu
Rabu, 11 Mei 2016.

Berakit Ke Langit
@2016

Tiada ulasan: