Cukuplah satu bagi yang setia
Bukannya lemah kerana nafsunya
Perkara yang luhur saling percaya
Rahmat yang masyhur tinggi cahayanya
Apakah engkau terlalu memilih
Bikin fikiran layu dan letih
Keimanan jiwa adalah jelas
Bukan bagi yang berniat malas
>>>
Cintamu gadis yang berlalu pergi
Tidak tertinggal bicara terus sepi
Laksana bulan terbit tinggi
Ada misteri selubungi diri
Asalmu tiada kupasti
Namun senyumanmu
Lebih hebat daripada baiduri
Setiap halus langkahmu
Yang memijak duri-duri
Menukarkan taufan rindu
Kepada kasih yang berseni
>>>
KASIH PETANG
Dikau petang
Kau bukan duri sakti
Bukan juga ranjau berduri
Malah kau juga seperti kami
Makhluk yang diciptakan ILAHI
Punyai amanat dan tugasan sendiri
Sebelum kami diterbangkan ke mari
Petang engkau singgah
Selama beberapa jam sahaja
Terkadang murung terkadang gembira
Ada ketikanya kecewa ada masanya ceria
Setabah orang tuamu si senja yang lara
Menanti ninda yang telah gelap di sana
Untuk bersama-sama merasai alamnya
>>>
Apabila telah ada arah jodohnya
Ada harapan bersinar nanti
Diakhiri dengan restu mulia
Tanpa hati berbelah bagi
Sekalipun orang mengguris bahagia
Biarkan saja DIA memerhati
>>>
Sudah lama kosong tiada lawannya
Dimasuki air kering juga
Dicampuri pasir habis jua
Sampai tertinggal bekas
Diam tidak bersuara
Senyap tak berirama
Sedih pula hati itu
Terbiar tak tergaru
Tidak dipukul dipalu
Jernih matanya tidak nampak
Memang kamu bukan jadi pilihan
Sabarlah selagi kamu masih beriman
>>>
Harum jiwa oleh keimanan
Kepada Penyelamat hidup kita
Sentiasa bermurah senyum
Serta bermanis bicara
Tanpa dendam sukma
Agar berseri bahagia
>>>
Pagi belum lagi tua
Masih muda hijau jua
Dingin hawanya terasa
Mendalami cintamu yang sasa
Tanpa mudah berputus asa
Kubiarkanmu perkasa
Tanpa rasa terpaksa
Aku tidak memaksa
>>>
Semoga ilham mimpimu ceria
Hari baru akan bermula
Erat bersimpuh dan bersila
<<<
Sudah lewat malam ni
Tidur sajalah sayang
Daripada memikirkan
Tentang kerja dan luaran
Tentang cinta dan kawan
Ini adalah waktu yang terbaik
Buatmu merehatkan minda
Kalbu jiwa dan dada
Nah! Persiapkan kamarmu
Perindahkan kelengkapannya
Perelokkan hiasannya
Agar kamu selesa
Sebelum pagi Selasa
Membuka tirainya
>>>
MAHSURI
Apakah putih itu adalah darah
Ataupun suci susu mengalir jatuh
Setelah senjata menusuk parah
Buruk rupa dek songsangnya patuh
Pusaka fitnah merencam sukma
Mengalir azam dendam segala
Sendiri bernanah meributkan kesuma
Fatwanya kejam raja menggila
Indah pekerti kerana budi
Di samping kejujuran beramal murni
Sebelum mati warkah bersendi
Hanguslah padang sehingga kini
>>>
PUISI SUKA SAMA SUKA
Apabila bencana hati telah reda
Kemuncak iktibar sampai waktunya
Semboyan iman menepuk ke dada
Kembang seragam melebarkan denainya
Bingkisan yang pertama dilukiskan
Dengan siratan tujuan perkasihan
Bingkisan yang akhir dinobatkan
Dengan restu insan dan Tuhan
>>>
Cinta indahmu hanya di mata
Cinta yang terbit bukan dari jiwa
Tapi daripada kezaliman perasaanmu
Membuatkan egoisnya bertambah padu
Dahulukanlah perkara yang perlu
Buat apa nak diturutkan nafsu kelabu
Jika kau menaruh prasangka
Palingkanlah daripada pukauan cinta
Jika kau dah tahu baik buruknya
Lakukanlah di dalam batasan usia
Masa takkan menunggumu kawanku
Bersiap-sedialah dengan ancaman baru
>>>
Sebelum malam menemukan bulan
Ada baiknya perigi kutinggalkan
Biar selesa tubuhku kedinginan
Disembur bayu senja keberangkatan
Tangga kayu kemas berbaji
Takkan goyang tanpa berpaku lagi
Meskipun rumahku sedang dilumuri
Oleh kepesatan lumut berpateri
Anehnya dikau purnama belum nampak
Kerana semalam awal bertapak
Kurenung maya langit bersifat tegap
Mungkinkah lewat rupamu hinggap
Nukilan Suffian Ismail Hamzah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan