TARI TUALANG TIGA
Adinda Puspa pandai menari
Menyanyi lagu Kampung Tualang
Tiada dia lupa kepada si pemberi
Gerangan menunggu tidak hilang
Tari gemalai sesama teman
Lentok tubuh gaya menawan
Si yatim membelai seisi taman
Berharap sembuh cacat rawan
Bertarilah si dara dengan asyiknya
Sesudah lagu Tudung Periuk
Tersaksi bicara dek mata halusnya
Hari dan minggu kasih meliuk
>>>
Kawan bertamu di waktu lewat
Berkat sabarmu bertambah kuat
Hidangkan kawan karipap manis
Jangan dilawan dek sindiran sinis
Bawa meneroka di pinggir rawa
Gantikan duka dengan tawa
>>>
Gemerlapan bongkah-bongkah di langit
Kilauannya tertumpah ke mukabumi
Adalah resam malam yang luas
Dengan taburan khayalan indah
Sewaktu kita mendamaikan mimpi
Sehingga fikiran pun terkesima
Dan zahir meracau tanpa hala
Dalam satu tidur panjang ini
Engkau seringkali tercuai
Oleh tafsiran sang dewa-dewi
Mahu mengangkatmu ke alam rohani
Pergi tanpa ingin lagi kembali
Betapa pelik kehidupan maya
Namun lebih cantik hayat di sana
Aku jauhkan pendirianku
Daripada tercela kerana alpa
Aku dekatkan kesetiaanku
Kepada rahmat yang tersedia
>>>
Betulkan sejadah segerah niat hati
Tanpa kesucian jiwa pun jadi mati
Apakah kautahu masa untuk pergi
Terjelma malaikat hilanglah putih gigi
Berikan lapangan waktu bagi kita
Untuk menikmati nikmat amalan semesta
Kemudian barulah kaufikirkan nak bercinta
Sebelum diikat dibaringkan ditalkin pula
Kekasih merajuk adakah nak dipujuk
Padahal ibumu sedang menahan sejuk
Ya Tuhan berikan insan yang ingin petunjuk
Supaya hidupnya tak lari daripada tajuk
>>>
Seminit bagaikan sejam
Bercerai sedikit terasa kejam
Hatiku ribut kencang
Apakah muncul dalam terancang
Selagi bertampuk nyawa di badan
Selama itu tak akan kulupakan
Secantik manapun rupa kaudandan
Segala pujian jangan termakan
Menjaga diri mengawal perasaan
Mencantumkan naluri kebijaksanaan
Tercabut duri dalam kawalan
Manis dan pahit sama ditelan
>>>
Orang ajak pergi sarapan
Makan roti dan teh tarik
Dia nak belanja sebagai umpan
Sebab nak berkawan tak boleh serik
Kedai Melayu restoran mamak
Yang mana satu pilihan kalbu
Dimintanya tambah nasi lemak
Rasa sayu terkenangkan ibu
Telefon ibu yang ada di kampung
Ibu suaranya serak perlahan
Sedikit sebanyak dosa pun rompong
Kita minta ALLAH jagakan
>>>
Hujan berderai petang bertemu
Suara bercerai di ranjang tamu
>>>
Asah parang nak tebas keladi
Pasak ke tanah hai anak muda
Apasal orang nikah tak jadi
Puncanya fitnah porak-poranda
>>>
Lahapnya makan bersungguh-sungguh
Kerja dilakukan tak perlu bertangguh
>>>
KEKASIH DI AWAL DAN AKHIR
Awalan berkasih cantik leluhur
Yang jelik tak apa boleh dicanting
Akhiran kekasih tak lagi tersohor
Yang pelik mengapa nak disunting
Bukan memboikot pasangan bercinta
Terkadang ramalan benar belaka
Tidak kedekut tidak bersengketa
Di akhirnya kesalan sumbang berduka
Jika bercinta carilah yang elok
Kerana yang awal hanya di mata
Dia berdusta jangan lagi dipeluk
Bimbang terjual maruah melata
>>>
Panjat rambutan nak buat jeruk
Tersangkut ranting di dahan manggis
Terkena seluar koyak-rabak
Desa pingitan biarpun di ceruk
Masih berdenting memori dan tragis
Takkan tawar ingatan bertambak
Lambaian pelepah sayup dijulang
Nampak dari seberang laut
Tempat kami duduk berehat
Sama dilapah daging dan tulang
Sekalipun duri sakit meraut
Hanya demi kasih yang terpahat
>>>
Tenang-tenang setangkai pauh
Belum ribut jatuh ke riba
Terkenang-kenang orang jauh
Belum disebut muncul tiba-tiba
Nukilan Suffian Ismail Hamzah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan