TAHU BELA TAK RETI KASI MAKAN
Petang menjadi saksi bercerita
Berkait besi keluli dan batu-bata
Dipunggahnya sakti enjin kereta
Tersedarkah dia si mulus meronta
Di ruang malam dialah hantu
Membusukkan jiwa sendiri bantu
Di jaringan kontang si mulus buntu
Terisikah perut seluas pintu
Bukan mengharapkan emas ditaburkan
Cukuplah kekemasan dan lengkap makan
Bukan kucing terliurkan sang ikan
Hulurkanlah nafkah sebelum ditinggalkan
>>>
Kosong perang jerami tua
Dipijak-pijak di bendang lama
Berselaput selut terusik jua
Oleh tanah dan baja nestapa
Sekali ditanam di dalamnya api
Aroma bara habanya sepi
Mencucuk tangkai diam berseni
Terpalit merah ke sekangkang guni
Kerana terpaksa dikau jerami
Mahkota berasap kelabu berkabut
Hangit hitam di pangkuan bumi
Pedih berbadai mata serabut
>>>
Api dan obor
Bersatu dan berpadu
Ruang pun terang
Lintasan bayangan
Karut khayalan
Endahkan lupakan
Datanglah kenyataan
Ke sayup bintang
Merenung bulan
Menyentuh awan
Tersadai di kayangan
Api tak pernah padam
Selama ada kehidupan
Biarpun obor lebur
Terang tidak tidur
>>>
ALAM SANUBARI
Dari seteduh rimba
Hingga ke hangat lautan
Serta hamparan bendang
Dan sungai beraliran
Berjejak pula ke lembah
Tiba di banjaran gunung
Sampai di lurah dan ngarai
Tercipta fenomena hujan batu
Di kedamaian desa
Tak seperti hujan emas
Di kesibukan kota
Sebagaimana ayah dan ibu
Yang berharap selalu
Dipanggil suara anak-anak
Dilambai tangan menantu
Dicuit jari-jemari cucu
Kerana zahirmu tidak di situ
Tidak di halaman restu
Apatah lagi di muka pintu
Seperti jua aku
Yang jauh di daerah ini
Hati merantau sepi sekali
Pameran rindu yang tebal
Dalam minda yang bebal
Jagat jiwa yang sebal
Hambar..
>>>
Ibu
Kubayangkan bila dikau datang
Kupeluk bahagiakanlah aku
Kauserahkan seluruh hidupmu
Menjadi penjaga hatiku
>>>
Terbang hati ke sayup jauh
Kecewa akibat redahan hitam
Menuang jernih kepercayaan
Ke dalam geluk insan budiman
Mengapa perlu ada kekerasan
Tiada terjumpa halus balasan
Jangan menjadi duri dan api
Menikam hati membakar diri
Tersilap langkah jurangnya dalam
Tertutup pintu tidak berpalam
Jangan pula di belakang orang
Mengasah pisau menusuk diam
Mengapa pula bercermin di talam
Sedangkan kautahu kacanya tajam
Akhirnya engkau tidak mengerti
Atau sengaja tak mahu mengerti
Menjolok sengatan sarangnya tinggi
Perkataanmu lengit lambungannya rugi
>>>
Terconteng mata terconteng hati
Melihat onar mentega dan roti
Bersalut gula berkati-kati
Kerana kesedapan biar sebati
Lahapnya awak terus telan
Tak tengok kiri tak tengok kanan
Macam tak jumpa makanan sebulan
Kerana manisnya terus berkenan
Sehingga terlupa di sisi awak
Teh dan susu membuak-buak
Sedangkan kopi belum terluak
Pecah kacanya menjeritlah awak
>>>
Suburnya cinta sukar terungkap
Mekar bunganya bertali hati
Memohon cinta agar tersingkap
Besar maknanya bila dimengerti
Dugaan datang selepas kemarau
Kemarau cinta banjir berapi
Kering merentang apa nak hirau
Asalkan derita tak tinggal sipi
Warkah bertulis daripada jiwa
Sedalam perigi jernih bercerita
Sekecil bilis lagi kan bersua
Apatah lagi pasir dan unta
>>>
~Selamat malam
Di sebalik sutera yang lembut
Menyelinap bulan merah gerhana
Terbang awan bak putih kapas
Mengaburkan pandangan
Setebal kabus berselerakan
Selembut sutera dan seindah bulan
Apakah maksud serta tujuan
Hinggap di dahan hati keresahan
Menyucukkan sinar jerlus luaran
Sedikit diberikan pertolongan
Segunung diminta balasan
Tanpa mengira mewah atau papa
Menangguk keruh di kolam alpa
Satu-persatu tradisi itu berlarutan
Sehingga ke sekecil kuman
Buat dirinya merana
Tidak terbela
>>>
Di bayang awan terlihat kasihmu
Di terumbu langit terpandang cintamu
Digeletek waktu kegelianlah rindu
Digertak senyuman lenyaplah sendu
Kututup nota lama
Kubuka sampul baru
Kusimpan pena papa
Kupakai dakwat gebu
Biarlah kutuliskan warkah indah
Bukan kutaipkan sindiran madah
Agar kesaktian kasihmu tak gundah
Apabila lebih padu gigi daripada lidah
>>>
Sekiranya pada petang ini aku tidak temui kemasyhuranmu
yang selama ini sentiasa di hatiku, aku akan pulang setelah
berkurun lamanya aku menunggu, memalitkan kesungguhan di
atas kertas-kertas rindu, tiada sambutan sedikitpun
daripadamu, aku syahdu, segera jejakku berlalu, sebegitu..
>>>
Cinta yang kaumiliki telah berambus
Dimakamkan segera pantas berkambus
Biar tak nampak tenggelam ditimbus
Selesalah jiwaku tak lagi direbus
Dalam memburu cinta sejati
Banyak ranjau dan duri di titi
Jika tiada berbin dan berbinti
Ke mana zuriat kekal sebati
Sebagai pedoman di sepanjang hayat
Jangan kaukira lalang yang menyayat
Berpandukan agama dan suci niat
Bukan sekadar nak ukur diet
>>>
AWAK DAN FACEBOOK
Secarik sinar di hujung atap
Lekanya awak jari berdetap
Terkadang ketawa juga meratap
Sehingga terabai masa santap
Sekejap lagi beberapa detik
Muncul dua belas bagai dijentik
Belum lagi awak bertitik
Di depan skrin bukan main cantik
Baik tutup segala urusan
Anak cucu cicit dan bisan
Bila ditegur banyak alasan
Sudahnya sendiri naik bosan
>>>
RELA
Mencabar diri mencari kemewahan
Ditaburi jutaan kertas berwarna
Ditimbusi besi keluli perkasa
Dipeluki wajah model jelita
Itulah engkau yang bernoda
Semalam usiamu hijau
Sekarang hidupmu beranjau
Sentiasa berpintas jalan
Seringkali jiwa beramukan
Terkadang dengki dan dendam
Menjadi tunjang dan tulang belakang
Namun pohon-pohon amalanmu
Masih layu dan kering
Tidak berbaja
Tidak bersiram
Biarpun sejadah bukan syarat sah
Untuk menjadi seorang yang beriman
Tetapi mencari NYA
Tak perlu jauh
Di sisimu tetap ada
Jika engkau setia dan patuh
>>>
TALI GITAR
Ada lagu ada irama
Lirik berbaris susunan cantik
Tiap minggu tetap saksama
Mata dan iris layu terlentik
Petiklah sekali hanya buatku
Kerana rindu menikam kalbu
Kubuangkan tuli dan buruk siku
Kucampakkan dadu pilihan kalbu
Namun sudah sebulan berlalu pergi
Tali bernada dah putus kini
Tiada terang bulan dan jernih perigi
Sesaknya dada hilanglah seni
>>>
Penantian sangat mengecewakan
Terkecewa oleh perbuatan
Perbuatan yang mungkin disengajakan
Sengaja mendahulukan keremehan
>>>
Rupa yang cantik
Tak semestinya baik
Rupa yang buruk
Tak semestinya teruk
Senyuman yang manis
Perkataannya menghiris
Bibir yang diam
Sebagai tanda iman
Diam ketika marah
Teladan daripada Rasulullah
Berdoa dan berserah
Hidup selamat Insya ALLAH
Nukilan Suffian Ismail Hamzah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan