SANDARAN
Berkalung resah memutarkan cerita
Sebagai terlaksana dendam segala
Dipakaikan rantai musibah derita
Gerangan memujuk bagai nak gila
Bukan hati kaya harta
Tetapi sanubari mahu bahagia
Tercipta dusta malang melata
Nak dipekakkan telinga bilakah seia
Sejak dulu diri dipergunakan
Oleh manusia berjiwakan syaitan
Semua kesucian hendak dimakan
Lebih baik sepi di dalam hutan
>>>
PETUALANG
Dari mimpi yang kabur
Menjadi jelas pada siangnya
Ketika terketuk pintu hati
Terkuak ke halaman yang terang
Entah siapakah yang bertukar musuh
Di dalam selimut mengurungkan diri
Mengasah gunting dalam kesenyapan
Sewaktu akal fikiran kealpaan
Sambil memarakkan bara
Terbakar jerami sedikit demi sedikit
Sebelum hangus membukit
Wahai kawan kepada kawan
Mengapa kawanmu engkau seksakan
Jika tiada kecukupan yang mencukupkan
Janganlah engkau memalitkan tangan
Dengan hati berdarah hitam
Sehingga aku dapat temukan
Sesuatu yang zahir dalam kenyataan
Engkau terpaksa kuusirkan
>>>
Habis dimakan umbut kelapa
Rasa aneh bila terlekat
Suasana akan bertukar rupa
Siangnya jernih malamnya pekat
Kepal di jari nak basuh beras
Tercurah gula periuk pun padat
Siang hari bekerja keras
Malam pula beramal ibadat
Nasi digoreng antah disingkir
Sehingga leluhur pinggan bertadah
Sambil baring sambil berzikir
Nak bangun bersahur jadi mudah
>>>
CINTA DAN DURI
Di dalam metafora cinta
Terkumpul dosa dan noda
Selangkah menuju ke situ
Terhambur kepahitan
Berpalit segala nista yang berbisa
Biarpun pelbagai persepsi
Serta tohmahan yang menjengkelkan
Kuberharap kaubersabar selalu
Kerana semua itu adalah dugaan
Mendidik jiwamu lebih beriman
Bukan menganggap diriku bagus
Sekadar menunjukkan yang lurus
Agar pengajaran yang kudus
Menjadikanmu lebih telus
Berhati halus dan mulus
Selembar kasih boleh jadi sebentang
Sepadang boleh bertukar selautan
Sedikit sahaja hatimu goyang
Mampukah kamu hidup tenang
Sebelum rahmat NYA mendatang
>>>
Nikahilah pasangan yang baik
Berfikiran matang serta cerdik
Setinggi mana mampu kaunaik
Pandangan si tua jangan diherdik
Mencari pasangan bukanlah mudah
Selagi belantara tak sanggup kauredah
Apalah guna manis bermadah
Jika lembut gigi daripada lidah
Nak berumahtangga tak semudah makan
Masuk ke dalam habis ditelan
Tak perlu heboh dan berseronok sakan
Ambillah juga pengalaman taulan
Nukilan Suffian Ismail Hamzah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan