Adalah kenangan yang akan selalu kauingat, ketika cinta tidak lagi menemukan rindu-rindu kita.
TAMAN HATI

Sahabat Jiwa
SELAMAT MALAM SAYANG
Selamat malam hadirin dan hadirat
Semoga tidurmu di dalam berkat
Mengapa difikirkan masalah berselirat
Baring dan rehat jangan disekat
Pejamkan mata lupakan dunia
Mohon ALLAH sentiasa menjaga
Agar mendapat manis kurnia
Sehingga masyhur sampai syurga
Jalan nan sempit pasti luas
Bebaslah daripada ancaman buas
Kasih pasangan buku dan ruas
Bangkitnya esok jiwa pun puas
>>>
Awak ke sana dia ke sini
Macam-macam perangai
Macam-macam tabii
Duduk elok-elok suami isteri
Pasangan popular ikut sekali
Daripada buang masa
Mengumpat itu ini
Lebih baik jaga diri-sendiri
Buat apa nak merempit
Nanti jatuh tersepit
Buat apa nak berlumba
Nanti sungkur di jalan raya
Tak ada faedah kacau orang
Nanti dicop conteng arang
Tak baik menuduh periksa dulu
Baik dan buruk ALLAH yang tahu
>>>
Selagi ada kudrat
Hidup diteruskan
Sehingga ke akhir hayat
Indah dalam kurniaan
>>>
Sentuhan cahaya ke minda berkaca
Membuak-buak kemilau wibawa
Ada tanda hijrah jiwa
Oleh sukma bak pendita
Lalu terukirlah corak keupayaan
Di atas azab perjalanan
Selagi kudrat tiada keretakan
Semakin kuat nadi pernafasan
Sedikit lontaran menjadi hamparan
Terhadap landaian pantai kemakmuran
Begitu jua patahnya kealpaan
Membukit semangat sepanjang kedewasaan
>>>
PEWARIS KEMALASAN
Terlambat menghadapi panas matahari
Terkejut murai berbunyi bising
Alamat orang datang berziarah
Tetapi tubuh sengaja bersendiri
Di ruang dingin membuang rungsing
Tiadalah pantas arus darah
Wahai fikiran yang dalam ketiduran
Mimpi apakah buatmu kelewatan
Dipakukan azan dan juga leteran
Masih tak sembuh daripada keterlanjuran
Seperti diselimuti batu bertan-tan
Apakah serupa sejak kelahiran
>>>
MUTIARA PAGI
Sekilas senyumanmu
Terlihat di antara manik-manik hujan
Hati pun kebasahan
Dalam renyai sendu sanubarimu
Aku tahu kaurindu
Tentang kenangan kita
Serta ingatan bersama
Dari sekecil tapak tangan
Sehingga ke setinggi tualang
Dikau memeluk tanda sayang
Tiada sedikit pun tercarik kasih
Malah melimpah ruah kemesraan
Sekalipun dikau senyum dalam kesakitan
Keampunan tetap ditunjangkan
#sanjungkanlahibumu
>>>
Suburnya malam nan pekat hitam
Ada gemersik berbisik merisik
Menegur sang hati yang jauh
Jauh ke timur dan barat
Meneroka ke utara dan selatan
Sehingga dijemput benua asing
Tidak terikat oleh pandangan minda
Tidak terjawab oleh tajam akal
Tetapi bijak ditafsirkan oleh iman
Melampaui batasan masa dan zaman
Dalam doa keluarga saudara serta teman
Mampukah kau ke daerah gersang itu
Hanya dengan sepasang kaki kering
Dengan junjungan langit tak berjaring
Diketip panas dan bahang
Disuntik kecelaruan
Semoga ada iktibar
Biarpun penuh debar
>>>
NGURAT
Mengapa si lanang pandang jahat
Dalam naluri penuhkah muslihat?
Betapa engkau mahu mendekat
Segala persoalan berliang likat
Mata kaujeling meminta berkat
Minda juling bertingkat-tingkat
Di kanan perawan di kiri dara
Nafsu terlontar kian membara
Dituju ke angin singgahlah segera
Menconteng fatwa bergema penggera
Siwakkan peribadi tiada tara
Ada juga yang bikin huru-hara
>>>
Puisi pagi
Sebagai riwayat hidup
Cerminan masyarakat
Dalam fitrahnya
>>>
BUJUKAN RINDU
Ada si muda mengetuk pintu
Pintu hati lebih berhantu
Diketuk-ketuk diam di situ
Diam membisu bak batu
Rindu dijentik sedang dicubanya
Perlukah dia mengintai setia
Dedaun cinta kering helaiannya
Langsung dipaliti kepada saya
Jika tak rela menguburkan kasih
Hentikan saja merintih sedih
Daripada sendiri menyiram selasih
Baik lelap selimut bertindih
>>>
MANJA KAKI
Kantuk beraja mata merintih
Di sana di sini disusuli keluh
Seharian bekerja tentulah letih
Ke sana ke sini tak lekang peluh
Lagu dipasang baru dan antik
Pahit dan masin kenangan berdendam
Rehatkan sepasang kaki yang cantik
Dalam besin dingin direndam
Pelbagai taktik teknologi
Semua nak tak mahu berundur
Urutan erotik refleksologi
Bikin enak rasa nak tidur
>>>
AROMA SENJA
Berangkatlah petang menyusur saujana
Terpampang deruan angin menjelma
Tumbang melintang si pohon sena
Oleh gurauan ribut bergema
Terhias terumbu langit di atas
Corak awanan tiada deras
Telur seribu di reban menetas
Dalam kawanan sarang selaras
Kunjungan pulang dewa dan dewi
Disambut tangga dan pintu bernyanyi
Berpagar silang kebunnya sawi
Perigi jingga tak lekang dek sunyi
>>>
MAK ANDAM MALAM
Kasawari bukan puyuh pun bukan
Berlari laju ke hujung padang
Diberi makan lahapnya makan
Ke mana menuju si kepak gondang?
Rambutnya hitam panjang-panjang
Diurai halus penuh ketelitian
Menanti dendam si kaki jenjang
Romanya mulus terpercik keperibadian
Sauk ke sanggul si daun pandan
Menyelinap harum ke serata ruang
Bagailah tunggul berkebaya sedan
Benang dan jarum menjahit wang
Nukilan Suffian Ismail Hamzah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan