Telah datang asmara jingga
Menyucikan mawar kalbu
Hendak merasuk naluri
Sebelum terbitnya malam
Di antara gunung rindu
Dan banjaran kesetiaan
Tumbuh hijau rimba cinta
Di dalamnya ada istana
Ada putera dan puteri
Serta inang dan dayang
Yang pasti sentiasa mengiringi
Memayung dan menaungkan
Tatkala engkau di badai kekeliruan
Ketika engkau kehilangan
Serta hampir-hampir berputus asa
Semuanya oleh Yang Maha Esa
Agar engkau tidak pedih sendiri
Juga tidak mudah lupa diri
Setelah engkau senang nanti
>>>
Pucuk dicita ulam pun datang
Nak tunggu apa kalau dah sayang
Pasanglah pelita sedap terlentang
Baik rupa mesti sembahyang
Sudah terlentuk sedap rambut dipintal
Demi cinta hartanya jangan disental
Orang mengantuk disorongkan bantal
Dah dapat pencinta jangan pula menggatal
Bila terpandang burung yang terbang
Jangan pula lada kaupipiskan
Sebelum terhidang nikmat di ambang
Jangan gula kaupahitkan
>>>
Sementara inainya masih merah
Tidak terjeling dek ayam di tanah
Memuliakan pelamin dalam kerah
Asalkan tidak dicukur bernanah
Itupun jika dia pasrah
Tanpa dendam amarah
Qadak dan qadar mesti diterima
Biarpun ditempelak melawan sukma
Hitam arang yang dipalit ke rupa
Sebelum empunya milikan si dia
Eloklah memutihkan yang teralpa
Agar zahir seia dengan nyawa
>>>
Mencubit hati resah
Sengaja dibiarkan sakit
Daripada dicakar tangan
Oleh gerangan liar
Terbentuk gesaan padu
Menubuhkan puncak ilmu
Lalu tiada kelu
Diam bisu berlalu
>>>
Sepatuku telah meredah selut
Menguis batu-batu dan pasir
Sehingga talinya tidak bertafsir
Tentang randukan dalam etika ini
Yang Mulia Tuhanku adalah bahteraku
Membawaku ke alam fitrah
Berupaya mengubah arah
Dari terbengkok jadi lurus
Dari tersimpang jadi terus
Tawarkanlah pada akhirnya
Racun yang mematikan jiwa
Sekalipun tiada musimnya
Untuk berbuah dan bertuai
Terbiar layu hijaunya takkan cuai
Terbantis keimanan muncul keraguan
Sekalipun madrasah dekat dan basah
Tiada yang lebih putih daripada percaya
Biarpun sepatuku tercalar oleh lumpur noda
Percaya kepada yang satu
Aku lebih rela
>>>
Handalnya dia bermain cinta
Di padang asmara berkilauan
Tidak takut kad kuning
Tidak risau kad merah
Apabila bola sudah dapat
Terus gol lari rembat
Tak kisahlah dia siapa
Andai cintanya sengaja alpa
Tiang elektrik bolah jadi batang kelapa
Apakah rela dia memanjatnya
Demi mendapatkan cinta yang setia
Tak payah nak renang lautan berapi
Sedangkan terpercik kuah panas pun dah ngeri
Apa pula dengan kedalaman air
Kalau setakat sejengkal saja kail
Tak perlu nak bergetar bergegar rusuk kering
Orang kejutkan solat Subuh masih sedap baring
Sampai nak runtuh tiang rumah bergegar
Masuk tengahhari macam mati tak sedar
Biarlah cinta dunia cuma sekerat
Takut pula kami jadi istidraj
>>>
Dari Isfahan menuju Istanbul
Rodanya kereta kuda sepasang
Hanya dipayungi awan gelap
Di bawah sebaran cahaya purnama
Langsung tidak menghampakan perjalanan
Hanya kerana kasih dan suci ikatan
Beroleh kemerdekaan tadbiran ingatan
>>>
Malam yang sangat baik
Lebih afdal tambahkan amalan
Agar fitrah kita kembali lengkap
Kerana ihsan NYA kita di sini
Nukilan Suffian Ismail Hamzah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan