DEMI MERDEKA!
31 Ogos tanggal keramat
Sambutan wajib acara tahunan
Ribuan di Dataran Merdeka
Menjulang kibar jalur gemilang
Di langit gemerlapan warna warni
Sorakan gemuruh riuh berpesta
Seakan itu sekadar merdeka
Kelalaian masih membelenggu
Minda rohani masih terjajah
Jatidiri identiti punah lebur
Adakah itu impian merdeka?
Merdeka bukan sekadar bebas
Bebas bukan luaran semata
Bukan tiada prinsip bernegara
Tindak tanduk tanpa batas
Merdeka hakiki ada identiti
Tidak mengagung budaya penjajah
Ada jatidiri ada tersendiri
Adat ketimuran penanda araso
Bahasa Kebangsaan bangga di hati
Tidak kira di desa mahu pun kota
Serata Semenanjung jua Borneo
Sehati sejiwa erat kesatuan
Tidak lupa tradisi dan identiti
Melestari akar usul keturunan
Hakikat merdeka dihayati bersama
Bebas anasir serta ancaman luar
Bebas dari segala kefasadan
Bebas dari benih-benih kemaksiatan
Di peringkat pemerintah insaflah
Bebas kebobrokan pentadbiran
Jauhi rasuah gilap integriti
Andai terlanjur berundurlah
Itulah sifat negarawan hakiki
Di peringkat rakyat cerdas fikir
Bebas cengkaman kezaliman
Nasihat pemerintah penuh beradab
Bukan ampu bukan bodek
Nan benar diterima, nan salah dikritik
Nescaya merdeka akan gemilang
Berbahagia Malaysia aman sentosa
Bukan palsu bukan munafik
Tulus amanah pemangkin jatidiri
Membugar benih kemurnian amal
Khairul Adli Abdullah
Merdeka Ke59 Tahun - 31.08.2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan